Beberapa ekor bangkai kucing yang dipercayai mati diracun ditemui di sekitar kawasan asrama UUM Sintok, Kedah semalam.

SINTOK – Penemuan beberapa bangkai kucing dipercayai diracun di sekitar penempatan asrama Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini mencetuskan tanda tanya.

Selepas lebih 24 jam insiden berkenaan berlaku, masih tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan pihak universiti.

Salah seorang mahasiswa yang ingin dikenali sebagai Syafiq Aiman memberitahu, kesemua sembilan ekor bangkai kucing itu ditemui mati pagi semalam.

“Tak sangka sehari sebelum raya Aidiladha (semalam) boleh jadi perkara begini. Erti pengorbanan sudah disalah erti oleh individu kejam jika benar ia diracun.

“Setakat ini pihak UUM belum keluar kenyataan tentang hal ini. Sebenarnya kes sama pernah terjadi beberapa tahun lalu tapi ini paling teruk sampai sembilan ekor mati dalam satu hari,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Lebih memilukan, episod hitam tersebut dilihat tidak terhenti di situ apabila malam tadi terdapat seekor lagi si bulus yang meronta-ronta dipercayai diserang sawan.

Dalam sekelip mata, kucing berkenaan turut menjadi ‘korban’ berikutnya di saat ramai warga kampus pulang bercuti sempena perayaan Aidiladha.

MalaysiaGazette difahamkan, kes tersebut sudah berada dalam siasatan Jabatan Keselamatan UUM, namun tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.

Susulan itu, tanda pagar Stop Racun Haiwan UUM mula menjadi hangat di media sosial sebagai tanda protes dan menuntut penjelasan pihak berkenaan.

Sekiranya terdapat unsur penganiayaan, mereka menggesa pelaku dikenakan tindakan undang-undang agar kejadian yang berulang itu tidak berlaku lagi.

Menerusi Akta Kebajikan Haiwan 2015, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 dan penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette